Tips Turunkan Suhu Badan Anak Ketika Demam

Demam adalah sebahagian daripada pertahanan badan terhadap jangkitan. Semua maklum demam bukanlah sejenis penyakit, namun jika ia melebihi suhu 40º C , ia boleh menjadi sangat berbahaya. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan demam, beberapa rawatan awal boleh dimulakan dari rumah lagi. Antaranya:

1. Mandi

Rendamkan anak anda dalam tab mandi yang penuh dengan air sederhana sejuk (air paip pada suhu bilik). Air itu akan membantu menyejukkan kulit serta dapat menurunkan suhu badan. Namun demikian, elakkan membawa anak mandi di waktu malam kerana udara ketika itu sedikit sejuk dan boleh menyebabkan mereka menggigil.

2. Kerap lap-lap badan

Jika anak anda terlalu letih dan tidak berdaya untuk mandi, anda boleh menggunakan tuala lembap sebagai alternatif untuk menyejukkan badan mereka. Caranya hanya rendamkan tuala kecil dalam air sederhana sejuk (air paip pada suhu bilik) dan lapkan ke seluruh badan anak terutama di celahan bawah tangan, sekitar leher dan juga kaki. Boleh juga diletakkan kain lembap tadi di dahi anak anda untuk mengurangkan ketidakselesaan disebabkan oleh demam. Kerapkan mengelap badan anak setiap jam.

3. Banyakkan minum air masak
Pastikan anak anda kekal terhidrat. Ini kerana badan kita memerlukan banyak cecair untuk melawan penyakit di dalam badan anda.  Oleh itu, amalkan memberi anak anda minum air dengan kerap sepanjang hari supaya mereka lebih banyak membuang air kecil dan juga lebih segar.

4. Dapatkan rehat yang berkualiti

Rehatkan anak anda daripada sebarang aktiviti diluar termasuk cutikan dia daripada persekolahan buat sementara waktu. Elakkan membawa mereka keluar ke tempat awam supaya mereka dapat lebih banyak rehat dirumah. Badan anak anda yang sedang mengalami gejala demam sedang memerangi penyakit dan oleh itu, badan mereka memerlukan banyak tenaga untuk pulih dengan sendirinya. Pastikan mereka berehat sebanyak mungkin dan betul-betul cergas sebelum kembali ke sekolah.

5. Menurunkan suhu bilik

Jika cuaca di luar sangat panas, anda boleh mengurangkan suhu penghawa dingin di dalam rumah supaya keadaan dalam rumah lebih selesa dan nyaman untuk anak anda berehat. Selain itu, penurunan suhu bilik juga membantu untuk mengurangkan suhu badan anak anda.

6. Pakai pakaian nipis

Semasa anak anda demam, elakkan mereka daripada memakai baju yang tebal, berlengan panjang dan berseluar panjang. Elakkan juga penggunaan selimut. Sebenarnya, gabungan lapisan pakaian dan selimut adalah tidak sesuai dan akan memerangkap haba seterusnya menjadikan demam bertahan lebih lama daripada biasa kerana haba daripada badan tidak dapat dibebaskan dengan baik ke persekitaran. Oleh itu, anda hendaklah memakaikan pakaian yang nipis dan longgar untuk anak yang sedang demam. Pakaian tanpa lengan seperti dalam gambar ini memudahkan ibu-ibu untuk mengelap celahan tangan dengan lebih kerap.

Selain daripada tips-tips diatas, poster “Tip Rawatan Demam Panas – Anak di Rumah” oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah ini juga boleh digunakan sebagai garis panduan untuk ibu-ibu semasa anak sedang demam.

Perhatian:

Menurut pakar, demam lebih daripada 3 hari perlu mendapatkan nasihat dan konsultasi rawatan oleh pakar perubatan di klinik atau hospital. Namun, jika anak anda terlalu lemah, kurang aktif dan tidak berselera, haruslah membawa mereka berjumpa doktor lebih awal. Suhu melebihi 40º C adalah sangat berbahaya untuk mereka, jadi terus ke kecemasan hospital untuk rawatan segera.

Semoga anak-anak kita sentiasa sihat dan dipelihara oleh-Nya.

Spread ❤

 

Leave a Reply